Tuesday 3 April 2012

Jodoh dari DIA

Ku persembahkan cerpen ini buat tatapan pembaca..

             Oleh:Khazinatul Hidayah

CINTA.. apa ada dengan cinta ? Hati seorang gadis berusia 19 tahun ini telah menutup sepenuh hatinya terhadap cinta.Namun,siapa sangka kerasnya hati seorang wanita mampu bertahan lama ? Kepada Allah dia serahkan segala takdir hidup seterusnya setelah kehilangan seorang lelaki yang pernah bertakhta dihatinya.

Musafir.. lelaki ini pernah memberi kekuatan pada dirinya dengan menaburkan benih cinta dan menyemai impian untuk melihat dirinya berjaya ketika mendapat keputusan SPM 2010. Namun,lelaki itu telah pergi ketika dia sedang berjuang untuk menduduki SPM. Hilang seluruh semangatnya.. Dia rebah ketika mendapat tahu berita tentang kematian lelaki itu. Hari yang dilalui begitu sepi,namun dia cepat sedar bahawa dia tidak sendiri. Allah adalah segala-galanya. DIA kekasih sejati,yang tidak pernah mengecewakan gadis ini.Dia adalah Nur Asrar Hidayah bt Abdul Rahman atau dikenali sebagai Asrar.

                Keputusan SPM telah membawa dia menyambung pelajaran dalam bidang perakaunan di UITM,Terengganu,Kampus Dungun. Alhamdulillah.. Berkat beristikharah,matrik dan STPM bukan impiannya. Hati dan akal bergabung untuk memilih diploma. ‘Ya Allah.. Moga pilihan ini memberi aku rahmat dan kejayaan. Amin..’ Doanya dalam hati.


                Pejalanan hidupnya di kampus sama seperti mahasiswa lain. Namun,erti persahabatan yang terjalin mebuatkan dia belajar sesuatu tentang persahabatan ini. Mereka berlapan dalam satu kumpulan yang mewakili empat lelaki dan empat perempuan. Apakah makna persahabatan ini ? Biarlah perjalanan kenangan yang tercipta menerangkan segalanya.Satu semester telah berlalu.


        “Adik.. Mak ada berita baik untuk adik..” Dia anak bongsu. Jadi,ibunya memanggilnya adik.
“Apa Mak ?” Jawabnya ketika diberitahu oleh ibunya bahawa ada berita baik untuk diberitahu.
“Kita dapat ke Makkah bulan Februari ini..Mengerjakan Umrah.. Macam mana ? Bersetuju untuk pergi atau belum bersedia ?” Subhana-Allah.. Siapa sangka pertanyaan ibunya merentap seluruh hatinya. Hatinya bagai ditarik-tarik untuk ke Tanah Suci telah sekian lama. Kini peluang ada di depan mata. Dengan penuh keikhlasan dan tangisan kesyukuran,dia memberi jawapan setuju kepada ibunya. ‘ Ya Allah.. Sungguh, Engkaulah yang Maha Mendengar doa hamba-Mu dan memakbulkannya. Moga terbentang luas keampunan-Mu untukku.’


                Hari yang dinanti telah tiba. Perjalanannya ke Tanah Suci berjalan lancar. Kesyukuran dipanjatkan kepada Ya- Rabb kerana memberi peluang untuk dia menatap keindahan bumi Madinah dan Makkah. Tempat yang diimpi oleh segenap  orang Islam di seluruh pelosok dunia. Seperti mimpi,namun itulah realiti yang dihadapinya. Namun,disebalik kegembiraan itu,siapa sangka gadis ini menderita hati tanpa dipinta ? Azwan Adam.. Kenapa lelaki ini yang diingati ketika di Jabal Rahmah ? Kenapa lelaki itu ? Sahabatnya sendiri ? Apakah tanda semua ini ? ‘Ya Allah.. Andai ini dugaan-Mu,Engkau kuatkan aku dengan kekuatan-Mu.. Andai ada petunjuk antara semua yang telah Engkau tetapkan,Engkau berilah yang terbaik untuk hamba-Mu ini.. Sesungguhnya,aku hanya hamba.. Yang sentiasa lemah dalam mengatur nafsu.. Lenyapkanlah nama Azwan Adam di kotak hati ini jika dia tidak terlibat dalam hidupku suatu hari nanti. Biarlah kami bahagia dengan persahabatan ini.. Amin.’

                Azwan Adam adalah sahabat seperjuangannya di UITM. Bersama Alif Azmi,Basyir Akil dan Khairul Ikwan. Ada apa dengan Azwan Adam ? Dia tertanya-tanya.Gadis bertudung labuh ini berharap agar dia dapat menghabiskan pengajiannya dengan baik tidak lama lagi.


Empat tahun kemudian..


                Ijazah telah digulungnya. Pekerjaan juga telah sempurna. Dia mencapai impiannya untuk menjadi seorang pensyarah. Dalam masa yang sama,dia juga menceburi bidang penulisan dan perniagaan. Semua telah lengkap dalam hidupnya. Namun,siapa sangka dia mampu bahagia dengan semua itu ? Dia wanita biasa. Yang mengharapkan cinta dari seorang suami. Dalam termenung,dia berfikir siapa jodohnya ?


                “Teringat pula aku pada pengalaman di mana tiba-tiba Azwan Adam muncul dalam ingatan ketika di Jabal Rahmah..Hmmm”.. Dia mengeluh ketika menyuarakan pengalaman itu kepada sahabatnya, Farhana yang kini menjadi seorang guru di Sekolah Menengah Teknik Terengganu.  Tercapai juga cita-cita sahabatnya itu. Itulah tekad kami,belajar hingga mencapai cita-cita. Farhana telah berkahwin dengan Muhammad Syafie. Kekasih hatinya ketika di bangku sekolah lagi. Alhamdulillah. Jodoh mereka berkekalan. Tapi,Nur Asrar Hidayah ?


                “Jodoh kot..” Jawab Farhana tanpa perasaan. Hujung minggu itu,mereka sudah berjanji untuk berjumpa. Jika tidak keluar hujung minggu,entah waktu bila mereka dapat meluahkan perasaan masing-masing seperti di kampus dahulu. “Eh apa kau ni,jodoh pulak(pula).. Entah-entah dah kahwin mamat tu..” Dia mengeluarkan kata-kata itu tanpa sekelumit keikhlasan. Ada apa pada hati ? Kenapa tidak mampu untuk ikhlas  Asrar ? Subhana-Allah.. Selepas bertahmid,dia beristighfar di dalam hati dan menghadiahkan senyuman yang paling manis buat sahabatnya walaupun hatinya sedang berperang dengan kata-kata yang diucapkan sendiri.


               “Asrar.. memang Azwan dah kahwin.. Dengan pilihan keluarganya sendiri.. Maaf kerana aku tidak memberitahumu.. Bukan berahsia,namun hati ini khuatir jika engkau akan kecewa.. Aku tahu,dari semester satu,ketika di kampus lagi kau menyimpan perasaan terhadapnya kan ? Kenapa harus berahsia ? Tidak mampu untuk meluahkan atau ingin lari dari cinta setelah kau kehilangan Musafir dahulu ?..” Bertalu-talu penjelasan dan persoalan yang Farhana ajukan padanya. Dia bungkam. Tanpa kata dia berlalu tanpa pamitan terlebih dahulu.


                “Tunggu !” Sapa satu suara garau dan manarik tangannya. Pantang bagi Asrar ada lelaki ajnabi yang menyentuh dirinya. Baginya hanya seorang insan yang diamanahkan oleh Sang Pencipta sahaja yang dapat menyetuhnya secara mutlak. Ada marah dalam sabar. Doa dan tasbih tetap dialunkan dalam hati. Marah kerana memperjuangkan haknya sebagai seorang muslimah yang wajib dihormati.
“Apa ni ?Tarik-tarik tangan ? Saya perempuan.,awak lelaki ! Tak tahu batas ke ? Awak wajib menghormati saya..” Sergahnya terhadap lelaki yang belum dipandang wajah lelaki itu.

                “Kita kahwin..” Hanya itu ungkapan yang diungkapkan oleh lelaki itu sebelum berlalu. Tidak sempat Asrar melihat wajah lelaki itu. Ungkapan itu seperti halilintar yang memamah dirinya sendiri. Kahwin ? Bagaimana perkahwinan tanpa cinta ? Biar orang kata dia sedang mencintai Azwan,namun, Allah belum memberi jawapan padanya. Padanya,yang berhak menerima cinta daripadanya adalah suaminya sahaja. Kerasnya hati gadis ini.

                Dia bangkit dari tidur. Teringat akan mimpinya tadi. Apakah makna mimpi ini ? Kenapa perkahwinan ? Dia bangkit dan berwuduk untuk beristikharah. Kenapa dia mengingati Azwan ? Siapa lelaki di Mesra Mall tadi ? Farhana.. Kenapa la kau tak perasan lelaki tadi.. Hmm..


                Selesai solat.. Dia memulakan doa dengan pujian kepada Ya Rabb.. Rasul-Nya.. meminta segala dosa kedua ibu-bapanya diampunkan dan segala dosanya juga diampunkan. “ Ya Allah.. Engkaulah yang mengetahui hati hamba-hamba-Mu.. Dalam istikharah ku,aku berharap agar lelaki ajnabi tadi jujur dengan ungkapannya. Adakah dia jodohku Ya Allah.. Tapi,siapa dia ? Begitu misteri perjalanan hidupku yang kau aturkan. Namun,Kebaikan itu datangnya dari-Mu.. Andai dia jodohku,kau dekatkan hatiku dengan hatinya.. Didiklah aku menjadi isteri yang solehah.. Kurniakan kami zuriat yang dapat menyambung perjuangan Rasul-Mu.. Sepenuh pinta dariku agar aku dapat melengkapkan tulang rusuk suamiku,untuk membantunya sama-sama dalam meneruskan jihad ini ya Allah.. Andai aku seorang ibu,kurniakan aku nurani yang sabar dalam mendidik anak-anakku nanti.. Dan.. berilah aku kesempatan untuk berkhidmat sepenuhnya  terhadap amanah-Mu dan membuat suami ku sentiasa tenang dan bersyukur dengan anugerah-Mu.. Amin.. Amin.. Amin..” Disapu kedua tapak tangannya ke muka dan bayangan Azwan Adam tetap muncul.. Apa akan terjadi hari esok ? Dia tertanya-tanya..


                Asrar dirapi dengan pakaian pengantin.Busana Muslimah yang direka khas oleh sahabatnya,Liyana.Walaupun seorang jururawat,namun,dia tetap mengabdikan impiannya untuk membuka butik pengantin.. Itulah Nur Liyana.. Tetap dengan pendiriannya. Dia kini sudah bergelar isteri kepada Muhammad Fadhil. Cinta remaja juga. Seperti Farhana. Liyana juga kekal bersama kekasih hatinya dalam membina dan melayari bahtera bersama-sama.


                “Liyana,aku tak kenal siapa bakal suami aku.. Aku tak pernah kenal.. Tiba-tiba semua ni berlaku.. Kadang,aku tak faham dengan semua ni.. Apa yang tertulis untukku sukar untuk di luah.. Akal ini sarat memikirkan sebarang kemungkinan.. Ada gentar dihati ini..” Segala yang terbuku dia luahkan kepada Nur Liyana. ‘Asrar,kau bertuah kerana mengahwini lelaki yang mencintaimu,dan kau juga sebenarnya mencintainya. Andai aku terlambat,mungkin aku akan menyesal kerana membiarkan harapanmu musnah. Asrar,lelaki yang tidak engkau kenal itu adalah sahabatmu sendiri. Azwan Adam. Maafkan aku kerana terpaksa melakukan semua ini tanpa pengetahuanmu’ Detik hati Nur Liyana tanpa memberi respons terhadap apa yang digusarkan oleh Asrar.Dia tahu,Asrar mencintai Azwan Adam. Itulah Asrar. Seindah namanya,seorang perahsia.

                Perjanjian dibuat tanpa pengetahuan siapa pun. Antara dua sahabat,Nur Liyana dan Azwan Adam serta diikuti oleh ibu dan bapa Nur Asrar Hidayah.


                “Mak cik,Pak cik.. Maafkan kami kerana menganggu masa makcik dan pakcik.. Tapi,bagi kami,perkara ini perlu diselesaikan dengan segera.. Biarlah tanpa pengetahuan Asrar.” Liyana memulakan bicara.
                “Ada apa Liyana ? Azwan ? Kelihatan seperti begitu penting ? Kenapa dengan Asrar ? Setahu kami,dia baik-baik sahaja sepanjang melalui kehidupannya di depan mata kami.”


                “Makcik,saya Azwan Adam. Lelaki yang pernah diingati oleh Asrar ketika di Jabal Rahmah. Saya ingin menjadikan dia isteri saya makcik,pakcik.. Saya mungkin silap kerana mengabaikan perasaan nya terhadap saya ketika di kampus dahulu. Saya tidak pernah tahu kerana dia lah Asrar. Seorang perahsia. Segala cerita tersimpan dilubuk hati Nur Liyana. Liyana dah ceritakan segalanya pada saya tentang Asrar. Saya akan menyesal jika tidak menjadikan dia suri hidup saya. Sesungguhnya,Asrar juga sentiasa hadir dalam mimpi saya pakcik,makcik.. Izinkan kami bersatu.Restui kami.”

                “Alhamdulillah.. Akhirnya,Allah kabulkan doa kita ya mak.” Tapak tangan disapu ke muka tanda syukur.


                “Liyana,kenapa termenung ? Salahkah aku mengutarakan isi hati ini ? Aku khuatir andai dia bukan yang terbaik untukku.” Liyana tersedar dari terus mengingati peristiwa seminggu lalu.
“Asrar,ketahui dan yakinlah.. Dia akan menjagamu dengan sebaiknya. Yakin pada ketentuan Illahi. Itu yang selalu kau pesan pada aku waktu hari bahagia aku dengan Fadhil. Kan ?” Liyana memberinya semangat. ‘Asrar,minit makin hampir. Kau akan diijabkabulkan sebentar sahaja lagi’

                Pengantin lelaki telah sampai.Debaran semakin terasa. ‘Ya Allah.. Berilah aku kekuatan dalam menerima siapa pun yang telah engkau tetapkan sebagai jodohku.’


              “Aku terima nikahnya,Nur Asrar Hidayah bt Abdul Rahman,dengan mas kahwin sebanyak RM 80”

Alhamdulillah.. Hanya itu ungkapan yang didengari oleh Asrar. Dia bagaikan bermimpi kerana lelaki yang kini sudah bergelar suaminya adalah Azwan Adam. Jodoh dari DIA. Benarlah kata orang,Tanah Suci adalah tempat petunjuk dari Allah. Dia yang Maha Mengabulkan.

                Apa yang harus dia rasakan sekarang ? Bersyukur ? Menyesal ? Rasa diri dipermainkan oleh seorang sahabat ? atau Jazakallah khairan untuk Nur Liyana ? dan marah pada Farhana kerana telah melibatkan diri dalam rancangan Liyana dan Azwan untuk menipunya ? Dikira Azwan Adam sudah berkahwin sebelum ini. Subhana-Allah.

                “Asrar,kenapa termenung ? Wuduk sekarang.Kita berjemaah.Abang akan menjadi imam untuk Asrar.” Tanpa alasan,kaki melangkah ke kamar mandi untuk wuduk. ‘Ya Allah.. Salahkah caraku memperisterikan Asrar? Kenapa dia hanya diam ? Tidak sepatah pun dia berbicara denganku ? Maafkan abang  Asrar. Kau akan ku jadikan Ainul Mardhiah ku’ Tekad Azwan di dalam hati.Perjanjian antara dia dan Pencipta.

                Selesai solat berjemaah,Asrar mencium tangan suaminya. “Asrar,maafkan abang. Adakah Asrar tidak bahagia dengan perkahwinan ini ?” Azwan Adam memulakan bicara antara dia dan isterinya.
“Abang..” Seperti ada batu di dalam mulutnya untuk meluahkan isi hati yang selama ini terpendam. Kini,lelaki ini telah bergelar suaminya. “Ya sayang..” Subhana-Allah.. lembutnya panggilan dari seorang suami.

                “Maafkan Asrar kerana mencintai abang tanpa pengetahuan abang. Selepas ingatan Asrar terhadap abang di Jabal Rahmah,Asrar semakin yakin bahawa Asrar tidak salah dengan apa yang Asrar rasa. Tapi,Asrar cuba elak kerana tidak mahu terlibat dalam cinta lagi. Selepas kehilangan Musafir,Asrar seperti tidak mampu lagi untuk mencintai sesiapa secara zahir. Namun,Asrar sentiasa berdoa dalam istikharah,agar Asrar dipertemukan dengan jodoh yang baik. Dan… Alhamdulillah,Allah mendengar segalanya.” Dengan titisan airmata,dia yang setulus namanya Asrar yang bermaksud rahsia itu,meluahkan segala isi hatinya terhadap suaminya. Moga bahagia milik mereka.

                Azwan Adam mengucup lembut dahi isterinya tanda cinta yang tidak terhingga. ‘Akan ku pimpinmu Asrar ke jalan yang diredhai-Nya. Moga kau adalah pelengkap hidupku yang saling membawaku menuju redha-Nya.’ Detik Azwan Adam ketika mengucup dahi Asrar.

                Mereka saling bertentangan mata. Tanpa kata. Malam yang indah dilalui bersama dengan penuh rasa cinta kerana Allah. DIA lah yang mentakdirkan hidup mereka bersatu. DIA lah yang Maha Mengetahui segala yang terencana.

                Dalam diari Asrar,terukir nama sahabat yang kekal selamanya bermula dikampus dahulu. ‘Apa khabar dengan Syikin ? Belum pulangkah dia dari Amerika ? hmm..’ Dalam meniti hari bahagia,mana mungkin dia melupakan sahabat seperjuangannya. Jika sudah pulang ke tanah air,masakan tidak datang ke majlis hari perkahwinannya.

Tiga tahun berlalu..

                “Umi,adik selalu menangis.. Abang Long tak nak tengok adik sedih.. Adik sakit ya umi ?” Adam Mukhlis bin Azwan Adam. Cahaya mata yang menjadi tanda cinta antara Asrar dan Azwan. Bukan seorang yang dikurniakan Allah kepada mereka,tapi sepasang kembar. Khazinatul Asrar. Kembar kepada Adam Mukhlis. Begitu sayang Abang Long kepada kembarnya yang di panggil adik.

                “Adam Mukhlis,dengar umi ya sayang. Adik tidak sakit. Tapi,adik rindukan walid. Walid terpaksa tinggalkan tanah air untuk meneruskan dakwahnya. Umi juga berharap agar Abang Long meneruskan perjuangan Rasulullah seperti walid. Walaupun kita sibuk dengan urusan kerja,akan ada masa lapang untuk kita menyampaikan ilmu kepada para sahabat yang memerlukan.. Faham tak sayang ?”

                “Ya umi. Insya-Allah Abang Long akan cuba. Walaupun di usia yang masih kecil,dengan didikan umi dan walid,Abang Long akan menanam azam untuk menjadi seperti walid.” Begitu bersungguh-sungguh janji yang di ukir oleh bibir anak kecil itu.

                Bip.. bip.. Bunyi sistem pesanan ringkas mengejutkan Asrar.

                ‘Abang akan pulang tidak lama lagi. Abang ada berita gembira untuk Asrar’

‘Ingin di balas atau tidak ? Biarkan sahaja. Aku akan menunggumu dengan penuh setia suamiku.’ Detik Asrar. Walaupun berkhidmat sebagai seorang doktor,Azwan tidak pernah lokek menyebarkan ilmu dakwah ke negara luar. Kerja doktor bukan terhad di hospital sahaja baginya. Dia juga tidak pernah menolak untuk bertugas ke luar negara,dengan niat untuk membantu dan menyampaikan dakwah.

                Azwan telah pulang ke tanah air. “Abang,apa berita gembira yang ingin abang beritahu Asrar?” Tanya Asrar tanpa rasa malu. Purdah dibuka kerana telah sampai di rumah selepas mengambil suaminya pulang di lapangan terbang tadi. Asrar meneruskan hasratnya untuk berpurdah setelah bergelar isteri. Itu adalah impiannya ketika masih gadis.

                Sambil Khazinatul Asrar di dalam pelukan ayahnya,Azwan menyampaikan berita itu dengan penuh tenang. Dia tahu,itu adalah kebahagiaan buat isterinya. “Asrar,minggu hadapan kita akan bertolak ke tanah suci untuk mengerjakan Umrah. Bersama Abang Long dan adik juga. Adam dan Khazinatul akan abang bawa juga ke sana terutama untuk melihat Jabal Rahmah. Itu tanda cinta kita,sayang. Sampai bila pun,abang tidak akan pernah lupa bagaimana adanya abang di hati Asrar.”

‘Umrah? Ya Allah.. terima kasih suamiku’ Hanya senyuman dan titisan airmata syukur yang dihadiahkan buat suaminya tanda terima kasih. Asrar kini bahagia bersama Azwan Adam. Dia mendapat bimbingan sempurna daripada seorang suami. Syukur dipanjatkan ke hadrat Illahi. Tambah pula dengan dua permata yang kacak dan comel itu. Adam Mukhlis menjadi pilihan nama untuk puteranya kerana mengambil satu nama dari Azwan Adam. Adam adalah nama mulia. Manakala Mukhlis pula pemimpin yang disegani. Dia berharap agar Adam Mukhlis akan membesar dengan ilmu yang penuh di dada.

Manakala,Khazinatul Asrar adalah bermaksud khazanah rahsia. Moga dia menjadi seindah mawar berduri suatu hari nanti. Walaupun seorang perempuan,Asrar sangat berharap agar Khazinatul akan menjadi seindah namanya yang membawa khazanah islam ke pelosok dunia. Jika tidak dengan melangkah,biarlah dengan penulisan. Amin.

“Abang.. Terima kasih untuk semua yang telah abang berikan untuk Asrar. Asrar bahagia bersama abang. Semoga Nur Asrar Hidayah akan sentiasa menjadi Ainul Mardhiah untuk suaminya,Azwan Adam.” Kata-kata itu dibalas dengan senyuman oleh suaminya.

“Insya-Allah sayang. Akan abang bawa legasi cinta kita di jalan yang benar”

“Dan akan Asrar bawa legasi cinta kita,dalam sebuah penulisan.”

Mereka berpelukan dengan penuh rasa bahagia. ‘Moga cinta ini kekal dan diredhai Allah’ Detik hati Azwan. Ya.. Moga mereka bahagia hingga ke akhir hayat.

No comments:

Post a Comment